Khamis, 14 Julai 2011

~Mudahnya Mencari Isteri Solehah~




"Sukar betul nak mencari isteri yang solehah,” luah seorang pemuda selepas kami sama-sama menghadiri Seminar Keluarga Bahagia anjuran sebuah badan kebajikan.

”Macam mencari gagak putih,” tambahnya.
“Agaknya, memang dah jadi hukum dunia, yang berharga itu susah mendapatkannya,” katanya lagi sambil merenung muka saya. Agaknya, dia cuba mengundang respons saya. Saya cuma tersenyum.
“Dah kahwin?” Akhirnya, saya bertanya.
”Belum lagi…”
”Kenapa?”
Dia pula tersenyum.
”Belum dapat yang solehah?” saya terus mengusik.
Lewat Tiga
”Kira-kira saya dah lewat tiga ni,” katanya sambil menjeling saya, ”Lewat tiga tahun!”
Saya kehairanan.
”Saya dah 28 tahun. Umur ideal untuk kahwin kan 25 tahun? Saya dah terlajak tiga tahun.”
”Oh, gitu… biar terlajak usia, jangan tersalah pilih!” usik saya lagi. Seronok, berbual dengan pemuda ceria sepertinya.
”Nak cari yang betul-betul solehah bukan senang.”
”Kalau tak jumpa, macam mana?”
”Tulah yang saya pening ni. Adakah syarat-syarat saya ni terlalu sukar dipenuhi?”
”Apa syaratnya?”
”Syarat-syarat wanita solehah… mesti solat, taat ibu bapa, berakhlak, tutup aurat, pandai mengaji, puasa sunat…”
”Macam tu tak susahlah… ramai yang ada syarat-syarat macam tu,” balas saya.
Ukur Taqwa
“Tu yang lahiriah. Yang paling penting bertaqwa,” katanya lagi.
”Macam mana pula nak ukur taqwa tu?” tanya saya.
“Tu yang pening. Taqwa tu dalam hati. Ni soal hati. Tapi apa boleh buat, saya nakkan juga isteri yang solehah, isteri yang bertaqwa!”
”Nak tak kalau saya bagi tip mudah bagaimana nak dapat isteri yang solehah?” pelawa saya.
”Adakah cara mudah? Tak percaya pula saya.”
“Tak payah susah-susah nak ukur, telek, nilai dan kaji orang lain….,” ujar saya lagi.
“Tak payah nak teropong taqwa dan iman di dada orang lain…,” tambah saya.
Dia semakin hairan.
Ada Cara Lain
“Saya tak faham. Macam mana kita boleh memilih calon isteri tanpa menilai syarat-syaratnya. Itu kan panduan dari hadis?”
“Itu satu cara. Tapi ada cara lain yang juga menggunakan prinsip yang sama.”
“Apa caranya tu?”
“Untuk dapat isteri solehah, jadikan diri kita dulu calon suami yang soleh!” tegas saya.
Dia terdiam sejenak. Belum sempat dia bersuara, saya susuli dengan penjelasan:
“Cuba cari ciri-ciri suami yang soleh… Bina semua tu dalam diri kita. Bina sahsiah lahiriah seorang lelaki soleh. Kemudian muhasabah pula soal hati…. ukur iman dan taqwa kita.”
“Nak ukur iman dan taqwa kita… susah tu. Itu soal maknawi!”
“Tapi itu jauh lebih mudah daripada nak mengukur iman dan taqwa orang lain…”
Dia mengangguk-angguk.
Lebih Tepat
“Alhamdulillah, tersingkap satu dimensi lain dalam usaha saya mencari isteri yang solehah. Tapi apa jaminan cara ni lebih cepat?”
“Saya tak maksudkan lebih cepat, tapi mungkin lebih tepat. Sebab cara ni ada kelebihannya…”
“Apa kelebihannya?”
“Sebab semuanya terletak pada diri kita sendiri. Lebih cepat kita membina sifat-sifat lelaki soleh… Lebih cepat kita meningkatkan iman dan taqwa… maka lebih cerahlah peluang untuk mendapat isteri yang solehah. Semuanya atas usaha kita terhadap diri kita sendiri. Kalau cara dulu tu lebih tertumpu pada diri orang lain…”
“Jaminan seratus-peratus?”
“Mana ada jaminan macam tu? Insya-Allah. Kan jodoh pertemuan di tangan Allah?”
”Yalah itu, saya tahu… tapi sekadar memastikan.”
”Bukankah Allah dah jamin lelaki yang mukmin untuk wanita yang mukminat? Lelaki yang soleh akan bertemu jodoh dengan wanita yang solehah? Insya-Allah.”
Terlalu Ideal
”Habis sekarang ni saya terpaksalah hentikan usaha mencari wanita solehah demi berusaha menjadi lelaki yang soleh, gitu?”
”Tak gitu. Cuma lebihkanlah usaha menjadi lelaki yang soleh. Sambil tu teruskanlah juga pencarian menjejaki isteri yang solehah.”
”Baik juga cara ni. Serampang dua mata,” katanya.
”Satu lagi…pesan saya, berpada-padalah dengan piawaian solehah awak tu. Jangan terlalu tinggi, nanti tak tercapai. Cukuplah dengan tahap yang sederhana.”
”Maksudnya?”
”Jangan terlalu ideal menilai calon isteri. Justeru sifat-sifat solehah itu sesuatu yang ’on going process’. Maksudnya, dibina secara berterusan. Mungkin sebelum kahwin tahapnya rendah sedikit, tapi dengan pimpinan suaminya nanti, tahap solehahnya boleh dipertingkatkan lagi.”
Mudah Bukan Untuk Dipermudah
”Boleh lebih kuranglah ya?”
”Bukan begitu maksudnya. Panduan dan ajaran Islam ini mudah tetapi itu bukan alasan untuk dipermudah-mudahkan.”
”Apa kaitannya itu dengan apa yang kita bincangkan ni?”
”Begini, awak mesti lebih ketat dalam menilai diri sendiri. Jangan ambil mudah soal iman dan taqwa diri. Letakkan piawaian yang tinggi buat diri sendiri. Bukankah lelaki yang nantinya akan menjadi pemimpin isteri dalam rumah tangga? Sebaliknya, permudah dan rendahkanlah sedikit penilaian terhadap calon isteri, dengan perkiraan nanti dia boleh dibentuk lagi setelah menjadi isteri kita…”
”Oh, saya faham…”
”Baguslah kalau begitu. Sayangnya, kebanyakan lelaki menilai sebaliknya… Untuk dirinya dinilai dengan piawaian soleh yang rendah, tetapi untuk calon isterinya dinilai dengan piawaian solehah yang tinggi… Itu silap.”
”Alhamdulillah… saya harap jodoh saya akan tiba jua nanti.”
”Amin… tamatkanlah penantian solehah itu dengan mempercepatkan pembinaan soleh diri!”

Jumaat, 1 Julai 2011

WANITA SOLEHAH PILIHAN TERBAIK CALON ISTERI...

RASULULLAH saw bersabda, yang bermaksud: “Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan paling indah ialah wanita solehah.” (Hadis riwayat Muslim).


Hadis ini menunjukkan betapa Islam memandang tinggi kedudukan wanita dalam kehidupan global.

Berdasarkan al-Quran, wanita digambarkan dengan tiga fungsi penting.

Pertama, wanita dianggap sebagai fitnah dan musuh andainya tidak dididik dan diasuh serta dibentuk menurut acuan Islam.

Kedua, wanita juga ujian bagi seseorang lelaki dalam menerajui bahtera kehidupan ke arah kebahagiaan.

Ketiga, wanita adalah anugerah Ilahi yang istimewa kepada lelaki yang mencari kemesraan dan kebahagiaan hidup.

Islam sebenarnya melahirkan ratusan personaliti wanita terbilang yang menjadi teladan kepada warga Muslimah dewasa ini.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita di dunia.

“Mereka ialah Asiah binti Muzahim, isteri Firaun; Maryam binti Imran, ibunda Isa; Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah saw dan Fatimah binti Muhammad,” (Riwayat Bukhari)

Asiah adalah simbol teladan bagi wanita beriman yang tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah, meskipun hidup sebumbung bersama suaminya, Firaun yang tidak beriman kepada Allah.

Maryam pula simbol wanita dalam ibadatnya dan ketinggian darjat ketakwaannya kepada Allah serta mampu memelihara kesucian diri dan kehormatannya ketika mengabdikan dirinya kepada Allah.

Khadijah pula simbol isteri setia tanpa mengenal penat lelah mendampingi suaminya menegakkan panji-panji kebenaran Islam, berkorban jiwa dan harta bendanya serta rela menanggung pelbagai risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam yang diamanahkan pada bahu Rasulullah.

Fatimah pula adalah simbol pelbagai dimensi wanita yang solehah; anak yang soleh dan taat kepada ayahnya; isteri yang setia kepada suaminya serta ibu yang bijaksana membesarkan putera puterinya. Malah, dialah panduan segala wanita dan juga seorang wanita mithali yang wajar dijadikan ikutan Muslimah.

Dalam memilih pasangan hidup, Islam menganjurkan setiap Muslim yang bakal melangkah alam perkahwinan agar berhati-hati.

Kriteria kesolehan isteri penting dalam kehidupan berkeluarga kerana sifat itu, selain dituntut Islam, juga bakal menjamin kerukunan dan kebahagiaan rumah tangga.

Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: “Janganlah kamu nikahi wanita kerana kecantikannya, kelak kecantikannya itu akan membinsakannya; janganlah kamu nikahi wanita kerana hartanya, boleh jadi hartanya akan menyebabkan kederhakaanmu; sebaliknya nikahilah wanita yang beragama.

“Sesungguhnya wanita yang tidak berhidung dan tuli tetapi beragama, itu adalah lebih baik bagimu” (Riwayat Abdullah ibn Humaid).

Jelas di sini, aspek keagamaan dalam diri seseorang calon isteri adalah penentu hala tuju sesebuah rumah tangga. Ini kerana dengan agama yang bertapak kukuh dalam jiwanya, dia pasti akan taat kepada suaminya dalam semua perkara yang tidak bertentangan dengan perintah Allah dan tidak mendatangkan mudarat kepadanya.

Isteri solehah juga akan bersifat amanah terhadap harta benda suaminya, di samping menjaga maruahnya. Ketika ketiadaan suaminya, seorang isteri solehah memelihara dirinya dan maruahnya seperti tidak boleh keluar rumah tanpa izinnya, tidak boleh menerima tetamu yang tidak dikenali dan sebagainya.

Ketaatan dan sifat beramanah seorang isteri solehah ini banyak dijelaskan oleh firman Allah yang bermaksud: “… perempuan yang solehah mestilah taat dan memelihara kehormatan dirinya ketika ketiadaan suaminya dengan perlindungan Allah…” (Surah an-Nisaa’, ayat 34)

Isteri solehah juga adalah isteri yang sentiasa menyempurnakan keperluan suaminya, di samping memelihara keredaannya pada setiap masa. Ini kerana keredaan suami menjadi anak kunci utama yang melayakkannya menjadi penghuni syurga penuh kenikmatan.

Apa yang paling penting ialah isteri solehah adalah pendidik dan pengasuh terbaik kepada anaknya, selain penyejuk hati ibu bapa, biarpun ibu bapanya sudah meninggal dunia, melalui sedekah doa dan amalan kepada kedua-dua orang tuanya.

Dengan agamanya itu, seseorang ibu akan mewariskan segala ilmu agamanya kepada anaknya agar mereka kelak akan menjadi anak soleh dan taat, bukan saja kepada ibu bapa, bahkan taat kepada Allah.

Pengetahuan agama dan nilai solehah inilah menjadi ramuan terbaik yang boleh melenturkan peribadi anak, perhiasan akhlak terpuji, mengisi minda dan hati anak dengan keimanan dan ketakwaan serta membimbing kehidupan ke arah keredaan Ilahi.

Sesungguhnya, fungsi seorang wanita yang bertindak sekali gus sebagai isteri dan ibu solehah dalam sesebuah institusi keluarga, begitu besar.

Justeru, Allah menganugerahkan ganjaran syurga bagi wanita solehah yang beriman dan benar-benar melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu dalam kehidupan sehariannya.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik wanita itu ialah wanita yang melahirkan anak, yang penyayang; yang memelihara kehormatannya; yang mulia pada kaca mata ahli keluarganya; yang menghormati suaminya; menghiaskan dirinya hanya untuk suaminya tercinta; memelihara diri daripada pandangan orang lain; yang mendengar kata-kata suaminya dan mentaati segala perintahnya.
“Apabila bersama suaminya, dia memberikan apa saja yang diperlukan suaminya dan dia tidak pula menolak ajakannya; serta tidak merendah-rendahkan atau menghina kedudukan suaminya di hadapan orang lain.” (Riwayat Al Tausi).